Pemimpin Global JSLC

Terdapat enam modul latihan dalam negeri yang wajib diikuti oleh ahli JSLC terpilih. Salah satunya ialah Program Diplomat Muda (Young Diplomats Programme) di Institut Diplomatik dan Hubungan Luar (IDFR)[2]. Latihan di IDFR ini merupakan salah satu latihan dalam negara yang bertujuan untuk melahirkan pemimpin muda yang holistik terutama dalam mengendali hubungan antarabangsa. Program Diplomat Muda ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik di IDFR selama lima hari. Program khas ini menggunakan modul yang biasanya digunakan kepada diplomat muda dari negara-negara ASEAN, namun skop latihan ditumpukan kepada peringkat pelajar sekolah. Kemahiran komunikasi antarabangsa, kepimpinan global, etika dan protokol, kemahiran perundingan dan kemahiran hubungan diplomatik dua hala dan pelbagai hala antara intipati latihan yang dalam modul ini. Peserta dibawa melawat ke beberapa kedutaan antarabangsa seperti di Pesuruhjaya Tinggi Australia dan Singapura, Kedutaan Venezuela, Croatia dan Thailand untuk memberi pendedahan kepada pentadbiran dan urusan diplomatik. Pendedahan ini memberikan nilai tambah kepada pembentukan kemahiran kepimpinan dan sahsiah pelajar yang tidak ditawarkan dalam pembelajaran dalam kelas. Program seumpama ini juga merupakan satu-satunya bentuk latihan kepimpinan dan diplomatik kepada pelajar sekolah yang ada di Malaysia. Latihan dalam negara yang lain termasuk:

1.    Latihan Pemimpin Korporat Muda (Young Corporate Leaders)

2.    Pengurusan Media (Media Management) dan Soft Skill dalam Kepimpinan

3.    Latihan Penerapan Budaya dan Warisan Johor kepada Pemimpin Muda

4.    Latihan Model Persidangan PBB

5.    Bengkel Perancangan dan Pengurusan Projek

Kemuncak latihan kepimpinan ialah apabila mereka memasuki fasa latihan luar negara. Setiap ahli JSLC berpeluang untuk menimba ilmu berkaitan kepimpinan di beberapa negara terpilih mengikut mengikut dua submodul latihan luar negara;

1.    Persidangan Model PBB (Model United Nations Conference, MUN),

2.    Kem Kepimpinan Antarabangsa

Ahli JSLC telah menyertai beberapa siri MUN di negara-negara Eropah seperti Belanda, Turki, Jerman, Greece, Perancis dan satu negara di Afrika Utara iaitu Morocco dan Jordan di Timur Tengah untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari semasa latihan dalam negara. Mereka akan mewakili sesebuah negara sebagai satu delagasi dan bersidang dengan peserta dari negara lain. Pada peringkat ini, mereka menyuarakan pendapat dan pendirian tentang polisi negara yang diwakili dalam menyelesaikan beberapa isu dan krisis peringkat global. Bagi kem kepimpinan antarabangsa pula, ahli JSLC telah menjelajah ke beberapa negara seperti Jerman, Australia, Korea Selatan, New Zealand dan Singapura dan Switzerland. Penyertaan mereka ke kem-kem ini yang dilatih oleh jurulatih antarabangsa memberi pengalaman berharga kepada mereka di samping kemahiran membentuk pemimpin yang diamalkan oleh negara lain. Pengetahuan dan kemahiran kepimpinan ini mereka bawa pulang untuk disebarkan kepada pelajar tempatan menerusi program Badan Pemimpin Pelajar (Student Leaders Board, SLB) di semua sekolah menengah negeri Johor.

Berkaitan